MASJID – PRODUK PELANCONGAN ISLAM YANG BERPOTENSI BAGI PEMBANGUNAN SOSIO-EKONOMI SARAWAK

KUCHING, SARAWAK, MALAYSIA, 27 NOVEMBER 2021: Keunikan masjid-masjid Sarawak serta kekayaan budaya dan alam semula jadinya boleh dimanfaatkan untuk pembangunan Pelancongan Masjid yang telah dikenal pasti sebagai tarikan pelancongan yang penting di sini, justeru menyumbang kepada pertumbuhan industri Pelancongan Islam dan sosio-ekonomi negara.

YB Dato Sri Nancy Shukri, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, berkata: “Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) melalui agensinya, Islamic Tourism Centre (ITC) telah mengenalpasti satu produk Pelancongan Islam yang baharu iaitu Pelancongan Masjid (Mosque Tourism).  ITC telah bekerjasama dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), serta Jabatan dan Majlis Agama Islam Negeri untuk membangunkan konsep Pelancongan Masjid yang mempunyai potensi sebagai tarikan pelancongan di peringkat domestik dan antarabangsa. Pendekatan yang diambil ini dapat membuka peluang baharu untuk memulih dan merancakkan semula industri pelancongan kerana ia berkait rapat dengan sosio-budaya Malaysia.”

Statistik JAKIM menyatakan terdapat lebih 6,000 masjid telah dibina di seluruh negara. Tambahan pula, hasil kajian ITC pada tahun 2018 menerusi “Profiling of Mosques with Tourism-related Attractions within Tourism Corridors in Malaysia” mendapati sejumlah 80 masjid di seluruh negara telah dikenalpasti sebagai masjid-masjid yang mempunyai potensi besar untuk dibangunkan di bawah program Pelancongan Masjid.

Tambah beliau: “Sarawak mempunyai pelbagai masjid dengan senibina unik dan indah serta nilai sejarah yang tinggi. Malah, kekayaan budaya setempat, tarikan alam semulajadi, kepelbagaian makanan warisan, hasil kraftangan unik, cara hidup masyarakat etnik yang semuanya terdapat di Sarawak boleh digabungkan dengan lawatan ke masjid-masjid justeru dibangunkan sebagai pakej pelancongan menarik yang dapat menambat hati para pelancong.”

YB Dato Sri Nancy memuji nilai estetik masjid-masjid di Kuching seperti Masjid Bandaraya dan Masjid India Bandar Kuching sambil menyatakan bahawa terdapat pelbagai masjid di bahagian lain di Sarawak yang turut boleh dipromosikan.

Beliau berkata demikian pada Majlis Prapelancaran Pelancongan Masjid Sarawak yang diadakan selepas seminar Pelancongan Masjid. Program ini merupakan inisiatif ITC untuk memacu minat dalam kalangan pentadbir masjid untuk memahami, mempelajari dan menyertai Pelancongan Masjid. Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS) dan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) turut memberi sokongan kepada program tersebut. Seramai 60 wakil daripada 15 masjid di Sarawak telah mengambil bahagian dalam seminar pertama ini.

“Pembangunan Pelancongan Masjid yang terancang, teratur dan mampan memberi peluang untuk mengukuhkan lagi usaha kita memakmurkan institusi masjid dan peranannya sebagai pusat ibadah Islam yang dinamik kepada masyarakat setempat dan juga kepada para pelancong. Masjid juga berperanan sebagai pusat pembelajaran dan percambahan fikiran yang menyanjungi keindahan alam semulajadi ciptaan Allah SWT, serta menyokong kegiatan ekonomi masyarakat setempat,” kata YB Dato Sri Nancy.

Mengulas lebih lanjut, YB Dato Sri Nancy berkata bahawa Pelancongan Masjid adalah satu inisiatif unik dan inovatif, selaras dengan strategi Dasar Pelancongan Negara 2020-2030 untuk memperkayakan pengalaman dan kepuasan pelancong. “Di peringkat kebangsaan, ia merupakan satu perkembangan positif yang boleh menggalakkan perpaduan melalui aktiviti pelancongan. Di peringkat antarabangsa pula, ia merupakan aktiviti yang ideal untuk memperkenalkan masyarakat dan budaya Islam di negara kita kepada pelancong.”

Latihan dan kefahaman serta kerjasama baik antara pihak masjid dan penggiat industri pelancongan amat penting untuk kejayaan Pelancongan Masjid, tambah beliau. Dalam hal ini, ITC sedang membangunkan modul latihan Program Pemandu Pelancongan Masjid (Mosque Visit Guide Programme – MosVi) bersama pihak USIM.

Sempena Majlis Prapelancaran Pelancongan Masjid Sarawak, YB Dato Sri Nancy telah menyampaikan sijil Pengiktirafan Penginapan Mesra-Muslim (MFAR) kepada lima hotel berikut di Sarawak yang disifatkan Mesra-Muslim oleh ITC:

  • Waterfront Hotel, Kuching
  • Hilton Kuching
  • Riverside Majestic (Astana), Kuching
  • Riverside Majestic (Puteri), Kuching
  • Grand Margherita, Kuching

Dengan ini, sejumlah 49 buah hotel telah pun diberikan pengiktirafan Mesra-Muslim oleh ITC. Permintaan dari pengusaha hotel lain terhadap pengiktirafan ini juga semakin meningkat. Penambahan lima buah hotel MFAR ini bermakna bahawa Sarawak kini mempunyai tujuh buah hotel Mesra-Muslim termasuk Pullman Kuching dan Pullman Miri, antara hotel terawal diiktiraf.

YB Dato Sri Nancy memuji usaha ITC untuk menggalakkan pengusaha hotel mewujudkan persekitaran pelancongan Mesra-Muslim dan menyatakan: “Konsep Pelancongan dan Hospitaliti Mesra-Muslim boleh digunakan untuk keseluruhan ekosistem pelancongan sebagai konsep penjenamaan dan pemasaran serta cara unik untuk Sarawak menarik lebih ramai pelancong Islam…justeru membantu usaha pemulihan industri pelancongan dan ekonomi.”

—– TAMAT —–

Islamic Tourism Centre (ITC) atau Pusat Pelancongan Islam merupakan sebuah agensi di bawah Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Malaysia yang diamanahkan untuk membangunkan segmen Pelancongan Islam di Malaysia. Sejak penubuhannya pada tahun 2009, ITC mendukung pembangunan Pelancongan Islam serta penjenamaan Pelancongan Mesra Muslim (Muslim-Friendly Tourism) melalui perkhidmatan yang ditawarkan seperti penyelidikan dan maklumat risikan pasaran, latihan, konsultasi pembangunan industri, piawaian dan pensijilan perkhidmatan pelancongan dan hospitaliti Mesra-Muslim, serta perkongsian maklumat.

Pada tahun 2021, ITC telah menerima  Anugerah Kerjasama Perniagaan Strategik (Strategic Business Alliance Award) di The BrandLaureate World Halal Best Brand E-Branding Awards 2021. Ia merupakan pengiktirafan terhadap usaha dan inisiatif ITC dalam merangka strategi baharu demi kelangsungan dan kelestarian Pelancongan Islam.

Selain itu, Malaysia juga telah dinobatkan sebagai negara terulung serantau dalam sektor Pelancongan Mesra Muslim oleh State of the Global Islamic Economy (SGIE) Report 2020/21. Malaysia juga telah mempertahankan kedudukannya sebagai destinasi Mesra-Muslim terbaik dalam MasterCard-CrescentRating Global Muslim Travel Index (GMTI) 2021 untuk kali keenam berturut-turut sejak 2015. 

Pencapaian-pencapaian di atas adalah dorongan kepada ITC untuk terus perkukuhkan usahanya sebagai penggerak utama dan institusi yang penting dalam memastikan Malaysia terus berada di hadapan dalam sektor Pelancongan Islam.

Untuk butiran lanjut sila hubungi:

Islamic Tourism Centre,
Level 13, Ministry of Tourism, Arts and Culture Malaysia
No. 2 Tower 1, Jalan P5/6,
Precinct 5, 62200 Putrajaya, Malaysia
Tel: 03-8891 7177 or via email itc@itc.gov.my

Ikuti ITC di platform::

Facebook: Islamic Tourism Centre
Twitter: @itc_my
Instagram: @itc_my
Youtube: Islamic Tourism Centre

 

Scroll to Top