uli Yang Maha Mulia (DYMM) Pemangku Raja Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Ibni Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail bersama Ketua Pengarah Islamic Tourism Centre En. Nizran Noordin
KANGAR, PERLIS, 2 OGOS 2024: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Pemangku Raja Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Ibni Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail, berkenan mencemar duli dalam menyempurnakan Majlis Pelancaran Awal Islamic Tourism Month (ITM) 2024 dan Pengurniaan Plak Muslim-Friendly Tourism and Hospitality Assurance and Recognition (MFAR) kepada pemegang sijil pengiktirafan MFAR di Hotel Seri Malaysia Kangar hari ini.
Turut dihadiri Menteri Besar Perlis, Yang Amat Berhormat Tuan Mohd. Shukri bin Ramli. ITM 2024 merupakan sebuah kempen inovatif anjuran Islamic Tourism Centre (ITC) untuk menawarkan pelbagai promosi istimewa kepada premis penginapan, pakej pelancongan, pengalaman spa dan penjagaan diri, makanan dan minuman, aktiviti membeli-belah dan peruncitan, serta lawatan masjid, acara, seminar dan pameran serta fasiliti perubatan. Di samping itu, kempen ini bertujuan untuk menyerlahkan ekosistem mesra-Muslim di Malaysia yang dapat dinikmati oleh pelancong Muslim, sama ada domestik mahupun antarabangsa. ITM tahun ini akan berlangsung pada 16 Ogos 2024 hingga 30 September 2024 setelah mendapat sambutan positif daripada penggiat industri pada tahun lepas dengan penyertaan sebanyak 125 rakan strategik dari seluruh negara.
Bagi mengekalkan momentum tersebut, ITC bersama 250 rakan strategik yang disasarkan tahun ini, akan terus menawarkan pelbagai acara, aktiviti dan tawaran pelancongan kepada orang awam, pelancong serta penggiat dan usahawan industri pelancongan sempena ITM 2024.
Selain itu, ITM 2024 turut mengadakan Hari Terbuka Masjid yang akan dianjurkan bersama masjid-masjid terkemuka di seluruh Malaysia dengan menyediakan lawatan berpandu dan aktiviti-aktiviti menarik yang terbuka kepada semua lapisan masyarakat. Bagi merancakkan lagi sambutan ITM 2024, ITC akan mengadakan pertandingan TikTok Challenge yang boleh disertai oleh orang ramai dengan pelbagai hadiah menarik untuk dimenangi.
Tambahan, Derma Kurnia DYMM Pemangku Raja Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Ibni Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail menyerahkan sijil pengiktirafan MFAR kepada 26 premis penginapan pelancongan. Antara penerima MFAR ini terdiri daripada Hotel Seri Malaysia yang telah memenuhi garis panduan Pelancongan dan Hospitaliti Mesra-Muslim (Muslim-Friendly Tourism and Hospitality – MFTH) yang diiktirafkan oleh ITC sebagai hotel mesra-Muslim.
MFAR merupakan satu pengiktirafan yang diberikan oleh ITC kepada para penggiat industri pelancongan di Malaysia yang menyediakan fasiliti dan hospitaliti yang dapat memenuhi kehendak dan keperluan pasaran pelancong Muslim serta memenuhi garis panduan MFAR yang telah dibangunkan oleh ITC.
Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Pemangku Raja Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Ibni Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail bersama wakil dari rangkaian hotel Seri Malaysia Zon 2 selaku penerima plak MFAR
Dalam ucapannya, Ketua Pengarah ITC Encik Nizran Noordin menekankan keunikan program MFAR bertujuan memanfaatkan ekosistem MFTH yang tersedia di Malaysia. Pembangunan program sebegini menyemarakkan daya tarikan Malaysia sebagai Destinasi Pelancongan Mesra-Muslim yang unggul. Ia juga dapat memberi nilai tambah kepada pakej pelancongan yang secara tidak langsung menonjolkan identiti negara kita di mata dunia selaras dengan matlamat utama penganjuran kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 (Visit Malaysia 2026 – VM2026).
Seterusnya, ITC turut menyertai Program Kayuhan MAIPs Peduli Bersama Duli Yang Maha Mulia Tuanku Pemangku Raja Perlis anjuran Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs). Program yang diperkenalkan pada tahun 2013 ini bertujuan untuk menyantuni golongan asnaf sambil menggalakkan aktiviti pelancongan domestik di kalangan rakyat Malaysia.
Encik Nizran Noordin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada rakan strategik ITM atas penglibatan proaktif mereka dalam memajukan usaha global ini untuk mempromosikan sektor MFTH. “Saya percaya bahawa kesan positif kerjasama ini akan membawa manfaat kepada semua pihak penggiat industri, secara langsung dan tidak langsung. Oleh itu, mari kita terus berganding bahu memartabatkan kepelbagaian budaya Malaysia dalam pelancongan mesra-Muslim,” kata beliau.
Untuk mendapatkan maklumat tentang promosi-promosi yang terdapat sepanjang ITM 2024, sila layari www.itm.itc.gov.my atau ikuti akaun sosial media rasmi ITM (TikTok: itc_my; Instagram: itm_itc dan Facebook: Islamic Tourism Month).
-TAMAT-
Mengenai Islamic Tourism Centre (ITC):
ITC merupakan sebuah entiti di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya yang diberi mandat untuk membentuk segmen Pelancongan Islam untuk Malaysia. ITC mempromosikan Pelancongan Mesra Muslim (MFT) dengan menawarkan kajian pasaran, latihan dan khidmat rundingcara untuk pembangunan industri serta penarafan dan pertukaran maklumat mengenai perkhidmatan Pelancongan dan Hospitaliti Mesra Muslim.
Malaysia telah mendapat pengiktirafan sebagai negara utama dalam sektor MFTH di rantau ini oleh State of the Global Islamic Economy (SGIE) Report 2022. Malaysia turut mengekalkan kedudukannya sebagai destinasi Mesra Muslim utama dalam Mastercard-CrescentRating Global Muslim Travel Index (GMTI) 2024, posisi yang dipertahankan sejak indeks tersebut dilancarkan pada tahun 2015. Pada masa sama, Malaysia turut diiktiraf sebagai Destinasi Utama Mesra Muslim (kategori negara OIC) 2024 dan Destinasi Utama Mesra Wanita Muslim di Anugerah Pelancongan Halal (Halal in Travel Awards) 2023.
Selain itu, ITC turut menerima Anugerah Strategic Business Alliance di Anugerah The BrandLaureate World Halal Best Brand E-Branding 2021. Pengiktirafan ini diberi untuk mengangkat usaha berterusan ITC dalam merekabentuk strategi baru untuk memenuhi keperluan norma baharu perniagaan dalam memastikan kesinambungan dan kemampanan industri dan kini mandat diberi untuk membina dan mengembangkan segmen pelancongan Islam di Malaysia.
Pengiktirafan ini menjadi motivasi kepada ITC untuk terus memperkukuhkan usaha mereka untuk menggerakkan dan menjadi institusi terulung di Malaysia dalam merancakkan sektor MFTH.
#ITM2024 #IslamicTourismMonth #ExperienceITM2024 #DiscoverMFAR #myITM2024 #ITMTikTokChallenge2024 #IslamicTourismCentre #MuslimFriendlyMalay #MalaysiaMesraMuslim #KembaraPenuhYakin
Pertanyaan dan maklumat lanjut, sila hubungi wakil media kami:
Ayu Nordin : +6019 374 6798
Shamsul Bahrin : +6012 347 0245
Illya Asri : +6017 507 9608
Email : pr.pinkandgrey@gmail.com | comms@itc.gov.my
Ikuti ITC dan ITM di platform media sosial berikut:
Facebook : Islamic Tourism Month | Islamic Tourism Centre
Instagram : itm_itc | itc_my
TikTok : itc_my
Youtube : Islamic Tourism Centre
LinkedIn : Islamic Tourism Centre